TRAGEDI 2 SYAWAL DI PASIR SALAK, PERAK
Pasir Salak merupakan sebuah mukim dan kawasan bersejarah yang terletak di tepi Sungai Perak, Perak Tengah, Perak, Malaysia. Di seberang sungai terletaknya pekan Kampung Gajah. Di belakang Pasir Salak terletaknya jelapang padi Seberang Perak. Tanah berdaulat ini menyimpan khazanah sejarah yang tidak mungkin dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia malahan seantero dunia sekalipun. Pasir Salak menjadi mangsa sifat amarah, nafsu syahwat, dendam, gila kuasa, tamak, pengkhianatan dan pembunuhan.
Perak dikurniakan Allah SWT dengan kekayaan hasil bumi yang tiada tandingnya. Kekayaan pembesar Melayu, Ngah Ibrahim dikatakan menyamai kekayaan sultan Perak ketika itu. Kekayaan dan kemasyhuran Perak ketika itu menjadi bualan bicara kolonial samada Britis mahupun Belanda. Ada catatan sejarah menyatakan kesilapan yang dilakukan oleh Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu dalam menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 tanpa meneliti dan memperhalusi isi kandungannya. Sultan Abdullah Muhammad Shah II terlalu berkehendakan takhta tiada dipedulikan lagi penderitaan yang bakal ditempuhi rakyat jelata. Ada yang mengatakan mengapakah pembesar-pembesar Melayu tidak membantah perbuatan baginda menandatangani perjanjian tersebut? Jawapannya mudah “Pantang Melayu Menderhaka”.
Nyatanya, 14 perkara yang termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1874 lebih menguntungkan pihak kolonial. Perkara 1 sahaja yang menguntungkan Sultan Abdullah yang secara sah dilantik sebagai Sultan Perak itupun menurut keputusan Inggeris bukan persetujuan pembesar-pembesar negeri Perak. 13 perkara lagi jika diperhalusi sememangnya membataskan kuasa Sultan dan pembesar-pembesar negeri sampai ke tahap penghilangkan kuasa pemerintahan Sultan Abdullah ketika itu. Pembesar-pembesar Melayu hilang kuasa memunggut cukai dan segala perbelanjaan hasil cukai dikawal selia oleh JWW Birch. Datang bukan sebagai membantu tapi datang untuk memonopoli hasil kekayaan negeri Perak.
Sikap Birch sememangnya tidak disenangi oleh Sultan Abdullah dan rakyat jelata. Biadap dan angkuh menjadi darah dagingnya, nafsu serakah birch yang gemar membawa lari anak-anak gadis dan isteri-isteri orang Melayu untuk dijadikan pemuas nafsu menambahkan lagi berang orang Melayu. Perbuatan bejat ini perlu ditamatkan dengan kadar segera, pihak kolonial mesti tahu orang Melayu pantang menderhaka sultannya. Melihat keadaan kesengsaraan rakyatnya, maka Sultan Abdullah bersama pembesar-pembesar Melayu mengatur rancangan untuk menghabisi nyawa si bedebah itu. Rancangan sudah ada, cuma perlu difikirkan cara dan tika mana perlu dilaksanakan rancangan itu.
Catatan sejarah ada menyisipkan sebanyak 5 kali pertemuan di antara Sultan Abdullah Muhammad Shah II dengan pembesar-pembesar Melayu di Kampung Durian Sebatang mengusulkan cadangan cara terbaik untuk menamatkan keangkuhan dan kebiadapan Birch, bukan lagi bermotifkan rundingan tetapi titah Sultan Abdullah supaya dibunuh saja Birch dapat memadamkan api kemarahan rakyat jelata. Antara cadangan yang dibahaskan;
1.JWW Birch dibunuh dengan cara diberikan racun.
2.JWW Birch dibunuh dengan bermain hantu - sihir
3.JWW Birch dibunuh sewaktu di Bandar Baru
4.JWW Birch dibunuh di Pasir Salak
Ahkirnya Sultan Abdullah memperkenankan dan menitahkan kepada Dato Maharaja Lela bersama pengikutnya membunuh Birch di Pasir Salak. Ada yang mengatakan bahawa JWW Birch sudah mengetahui rancangan membunuhnya, namun sikap angkuh beliau merealisasikan titah Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Beliau dengan angkuhnya menjawab sebelum tubuhnya ditusuk senjata Melayu, pasti nyawa orang itu melayang dek dentuman pistolnya.
Sumpah taat setia, Dato Maharaja Lela bersama pengikutnya menjadi taruhan “Pantang Melayu Menderhaka” kebijaksanaan Dato Maharaja Lela dalam memastikan pelaksanaan titah baginda berjaya tidak dinafikan. Dengan pengikut yang setia seperti Pandak Endut, Dato Sagor dan Siputum yang diberikan titah membunuh JWW Birch. Sememangnya ajal sudah ditetapkan oleh Allah SWT tiada siapa yang mampu menghalang kehendaknya. Amukan anak Melayu berkemundang buat kali pertama di Tanah Melayu yang menjadi mangsa amukan Melayu ketika itu, Mat Arshad (penterjemah kepada Birch) sewaktu kedegilannya menampal terus notis pengumuman yang dibuat tuannya Birch menancak senjata ditubuhnya sehingga menyembur darah membasah bumi yang berdaulat.
Jasad tidak bernyawa sudah terbujur di daratan hanya tinggal sasaran utama serangan iaitu Birch masih leka menikmati kesejukan dan kesegaran air Sungai Perak tanpa disedari darahnya akan mengalir sebentar lagi. Dengan rejaman lembing yang tepat dilakukan oleh bukan sebarangan orang. Pasti yang merejam itu orang yang handal dengan ilmu persilatan Melayu. Rejaman lembing tepat mengenai tubuh Birch sehingga membenamkan dirinya ke dasar Sungai Perak, namun penderitaan yang ditanggunginya bukan berakhir di situ. Birch masih diberi kesempatan menghirup udara di negeri Perak. Menjadi titah Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Siputum memastikan kejayaan dan keberhasilan titah baginda, dengan bingkas pantas menerpa ke arah Birch dengan tetakan bilah parang panjang (Sundang) ke tubuh Birch tanpa lagi memberi kemaafan terus tenggelam tubuh Birch di bawah arus Sungai Perak dinodai darah orang putih. Tanggal 2 November 1875 melakarkan dalam sejarah dunia peristiwa pembunuhan Residen Inggeris yang pertama di Tanah Melayu. Diceritakan ketika serangan itu terjadi, Birch tidak berseorangan, beliau dikawal oleh askar Gurkhas yang lengkap bersenjata, Amukan senjata pahlawan-pahlawan Melayu memberi peluang mereka melarikan diri tanpa memikirkan keselamatan tuannya lagi.
Perkhabaran sejarah ada menceritakan jasad Birch tidak dijumpai selama 3 hari di dasar Sungai Perak, pihak Inggeris menemui kegagalan menemui jasad Birch sehingga memaksa mereka menggunakan khidmat seorang pawang(bomoh) Ana berjaya menjumpai jasad Birch di Sungai Perak. Hutang darah dibayar darah juga, pada 5 November 1875 serangan terus ke kubu pertahanan Dato Maharaja Lela di Pasir Salak. Serangan yang tidak ampuh apatah lagi mengentarkan semangat pejuang Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanahair dan kedaulatan sultannya, Serangan pertama berjaya ditangkis dengan mudah, namun pihak Inggeris tetap meneruskan serangan yang kedua pastinya lebih besar bilangan angkatanya ditambah dengan senjata meriam dan pelancar roket pasti menjadi habuan darah pejuang Melayu di Pasir Salak.
Kekuatan tentera Inggeris ketika itu dianggarkan seramai 1400 orang tentera yang lengkap bersenjata menentang anggaran pejuang Melayu lebih kurang 800 orang sahaja. Serangan kedua tidak mampu pengikut Dato Maharaja Lela bertahan, arahan berundur perlu segera dilakukan. Di serangan pertama seorang lagi pegawai atasan Inggeris turut menerima nasih seperti Birch, beliau yang bernama Kapten Innes. Pengunduran pejuang Melayu sehingga ke Kota Lama Kanan, sekali lagi perang tercetus dengan strategi memerangkap pihak musuh di dalam hutan, akhirnya sekali lagi pihak kolonial menerima jasad pegawai atasan yang berpangkat Brigidier H.J Hawkin.
Pihak Inggeris sedar yang mereka tidak mampu menyekat dan menumpaskan penentangan di Pasir Salak yang diketuai oleh Dato Maharaja Lela dan pengikutnya. Akhirnya pihak Inggeris menggunakan pendekatan psikologi dengan menawarkan sejumlah wang kepada sesiapa yang membantu pihak kolonial sehingga tertangkapnya Dato Maharaja Lela dan pengikut-pengikutnya. Antara ganjaran yang diberikan;
a.Dato Maharaja Lela - $6,000
b.Dato Sagor - $3,000
c.Pandak Endut - $3,000
d.Siputum - -$1,000
Pada 17 Febuari 1876, ketiga-tiga pembunuh Birch berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman gantung mati pada 20 Jun 1877 di Larut, Perak. Manakala Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Laksamana Muhammad Amin tiada bukti penglibatan mereka dalam kejadian pembunuh Birch, namun mereka tetap dikenakan hukum dibuang ke Pulau Syschelles.
No comments:
Post a Comment