TAJUK UTAMA

SEJARAH TIDAK BOLEH DIUBAH FAKTANYA NAMUN SEJARAH PERLU DITELUSURI SEHINGGA MERUNGKAI MISTERI DAN MERUNGKAP IBRAHNYA

Tuesday, March 17, 2020

Feudalisme Melayu "Kemelut Istana Perak Abad Kurun 19"

FEUDALISME MELAYU - MERUNGKAI KEMELUT ISTANA PERAK KURUN ADAB 19
Oleh : Nasuha Ahmad


Persengketaan di kalangan pembesar Melayu, Ngah Ibrahim dengan pewaris takhta kerajaan negeri Perak iaitu Raja Abdulullah dan Raja Ismail. Siapa yang tidak kenal ketiga-tiga tokoh ini? Sudah pastinya Sejarah Pembunuhan Residen Perak Pertama JWW Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875 menjadi coretan sejarah dunia. Di Pasir Salak mereka dilabelkan sebagai penjahat, penjenayah dan pembunuh oleh pihak kolonial. Namun sejarah peradaban Melayu, mereka pejuang dan pencetus kepada agenda kebangkitan menentang penjajah British di Tanah Melayu. 

Garapan artikel kali ini, ingin melihat beberapa signifikan yang menjadi agenda utama pihak kolonial campurtangan di bumi berdaulat ini. Penulis mengakui terdapat beberapa catatan sejarah khususnya zaman Imperialisme seperti catatan McNair dan F.A Sweettehem yang lebih berdampak negatifnya. Kemungkinan pada dasarnya jika dibaca catatan mereka sudah pastinya kita akan nampak kesahihannya, tetapi jika diimbangi dengan nalar penelitian, pembacaan dan pengkajian ilmiah mungkin juga ada unsur-unsur positifnya. 

Penulis mendasarkan terlebih dahulu tentang konsep “Feudalisme’ merujuk kepada sistem politik di Eropah pada Zaman Pertengahan yang mengandungi satu set tanggungjawab undang-undang dan ketenteraan yang saling memerlukan di antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (vassals) dan tanah (fiefs). Dengan kata lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk seorang bangsawan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan tanah bangsawan. Walaupun diambil daripada perkataan Latin (feodum), istilah feudalisme dan sistemnya bukan satu sistem politik formal pada zaman itu. Mereka merupakan masyarakat yang tinggal dalam satu komuniti. Ianya merupakan sususan lapis sosial masyarakat.

Feudalisme memberikan dua jenis takrifan umum, Cheah Boob Kheng menjelaskan feudalisme ialah satu bentuk organisasi dan sosial di dalamnya terdapat kelas atau golongan hulubalang yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam hiraki masyarakat feudal. Takrifan kedua merujuk kepada ketaatsetiaan antara dua kumpulan manusia yang bebas yang dipanggil lord dan satu pihak yang diperintak dikenali sebagai vassal.

Chandra Muzaffar, konsep feudalisme Melayu digambarkan oleh kolonial merupakan satu bentuk kekejaman pemerintah Melayu terhadap rakyatnya. Pihak British sengaja menonjolkan perilaku-perilaku kejam raja Melayu. Akibat ketidakseimbangan keadaan ini, maka menjadi heronya adalah pihak kolonial. 

Azmin Ariffin menegaskan bahawa tida wujud istilah feudalisme Melayu yang dianggap mitos atau satu kebohongan kolonial yang digunakan sebagai alat menjustifikasikan penjajahan dan pengguasaan di Tanah Melayu. Sejarah jelas mengajar kita, mengapakan puak kolonial ini begitu teruja dengan tiga negeri di Tanah Melayu iaitu Selangor, Perak dan Negeri Sembilan? Jolokan nama “Lubuk Bijih Timah” adalah jawapannya. Kehiduan kekayaan hasil bumi menjadi tagihan mereka, pelbagai pihak mengaut keuntungan atas kebaikan dan kesantunan Bangsa Melayu. 

Catatan dari pihak kolonial sememangnya bersifat ‘prejudis’, beberapa faktor dalaman yang memicu kepada campurtangan British di Perak, antaranya;

1.Kemelut perebutan takhta
2.Perang Saudara
3.Faktor Anak Angkat - Peribadi
4.Faktor ekonomi
5.Faktor Pembunuhan Residen J.W.W Birch

Penulis akan cuba melihat dan meneliti adakah faktor-faktor tersebut mempengaruhi sejarah kejatuhan Perak di tangan British.

1)Kemelut Dalaman Pembesar Negeri - Pewaris Takhta

Kemangkatan Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah (Sultan Perak 24) yang bersemayam di Sayong, Kuala Kangsar. Semasa pemerintahan Baginda, yang menjadi Raja Bendahara ialah Raja Ismail, putera Saiyed Syeikh Al-Khairat (Raja dari Siak), manakala Raja Muda disandang oleh Raja Abdullah Ibni al-Marhum Sultan Ja’faar Mu’azzam Shah. Jelaslah, bahawa Raja Abdullah sah menjadi Sultan Perak yang ke 25. Oleh kerana, Baginda tidak berkenan untuk mudik ke istiadat pemakaman dan istiadat kemangkatan al-Marhum Sultan Ali secara tidak langsung jenazah al-Marhum tidak dapat dimakamkan selama 40 hari kerana tiada pengganti takhta. 

Akhirnya Orang-orang Besar Perak berkumpul di Sayong dan mengambil keputusan untuk memakamkan Al-Marhum Sultan Ali dan pada tarikh 28 Jun 1871, Raja Bendehara iaitu Raja Ismail dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-25 bergelar Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah. Siapa pembesar Melayu yang telah membuat keputusan berikut? 

Orang Kaya Perak yang paling berpengaruh ketika itu, Ngah Ibrahim, perkaitan Ngah Ibrahim dengan dearah Larut yang kaya dengan bijih timah tidak dapat disangkal lagi keberadaanya di kalangan pembesar-pembesar Melayu. Pada abad ke 19, di bawah pemerintahan ayahanda kepada Raja Abdullah iaitu Paduka Seri Sultah Jaafar Mu’azzam Shah telah mengambil Ngah Ibrahim sebagai anak angkatnya. 

Perkembangan dan kemajuan perusahaan bijih timah di Perak telah menganugerahkan kepada Ngah Ibrahim satu geran pada 24 Mei 1858 yang mengesahkan Ngah Ibrahim sebagai pentadbir di daerah Larut yang merangkumi kerian sehingga Bagan Tiang. Kewibawaan Ngah Ibrahim dalam mentadbir urus daerah Larut diuji dengan tercetusnya Perang Larut sekitar tahun 1861 hingga 1873. Pergaduhan kongsi gelap di antara Ghee Hin dan Hai San dalam memonopoli perlombangan bijih timah. Dengan kebijaksanaan Ngah Ibrahim setuju untuk membayar sebanyak $17,447.04 sebagai ganti rugi kepada kedua kongsi gelap tersebut, menggunakan duit beliau sendiri.
Sultan Jaafar berasa kagum melihat kepimpinan Ngah Ibrahim dalam menyelesaikan masalah Perang Larut, memberi hak mentadbir Larut bagi pihak Sultan Perak ke arah lebih keamanan dan maju. Pada 23 Oktober 1863, Sultan Jaafar telah mengurniakan gelaran Orang Kaya Menteri Sri Paduka Tuan kepada Ngah Ibrahim iaitu Orang Besar Keempat dalam hiraki pentadbiran Kerajaan Perak. Raja Larut gelaran di kacamata orang Eropah manakala di kalangan pembesar Melayu beliau di panggil Tengku Menteri.

Catatan sejarah, menjelaskan ketika itu Raja Abdullah putera kepada Sultan Jaafar banyak menghabiskan wang Ngah Ibrahim, tindakan baginda memajakkan lombong Daerah Kerian (daerah Ngah Ibrahim) kepada Edward Becon tanpa kebenaran Ngah Ibrahim memutikkan bibit persengketaan di antara Ngah Ibrahim dengan Raja Abdullah. Kemelut ini penulis meletakkan sebagai permasalahan peribadi di antara pewaris takhta Raja Abdullah dengan anak angkat ayahandanya iaitu Ngah Ibrahim.

2)Kemelut Kedua - Perebutan Takhta

Perlantikan Sultan Perak ke 22 iaitu Sultan Abdullah Muhammad Shah I dikatakan tidak sah di kalangan pembesar-pembesar Perak yang lebih memihak kepada Raja Ngah Jaafar. Pada November 1855, Raja Ngah Ali (putera al-Marhum Sultan Shahabuddin Marhum Saifullah telah bertindak sebagai wakil Sultan Perak telah telah menyerahkan Daerah Larut kepada Che Long Jaafar (ayahanda kepada Ngah Ibrahim). 

Tiga tahun kemudian, Orang-orang Besar Perak yang berpengaruh telah memecat Sultan Abdullah Muhammad Shah yang masih berada di buangan selepas tewas dalam peperangan Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar, baginda terpaksa meninggalkan Istana di Durian Sebatang dan mendapatkan perlindungan di rumah Datuk Laksamana Tok Janggut.

Orang-orang Besar Perak telah mengangkat Raja Ngah Jaafar sebagai Sultan Perak menggantikan Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Namun pada tahun 1855, Raja Yusuf (putera Sultan Abdullah Muhammad Shah I) berusaha sedaya upaya menyakinkan Orang-orang Besar Perak untuk menyebelahi ayahandanya namun menemui kegagalan. Dalam tempoh setahun kemudian, Sultan Abdullah Muhammad Shah I telah mangkat dimakamkan di Durian Sebatang. 

Catatan sejarah, perselisihan di antara Sultan Abdulullah Muhammad Shah II (Sultan Perak 26) dengan Sultan Yusuf (Sultan Perak 27). Apakah perkaitan di antara kedua Sultan Perak ini? Sultan Abdullah Muhammad Shah II adalah putera kepada Sultan Jaafar (Sultan Perak 23) manakala Sultan Yusuf adalah putera kepada Sultan Abdullah Muhammad Shah I (Sultan Perak 22). Sultan Abdullah Muhammad Shah II bersemayam di Batak Rabit, manakala Sultan Yusuf bersemayam di Senggang.

Semasa kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Shah I dan Sultan Ali baginda Sultan Yusuf tidak dipilih sebagai Raja Bendahara walaupun itu hak Baginda, Hal ini disebabkan oleh ramai Raja-raja dan pembesar orang Perak tidak menyukai baginda. 

Penulis ingin membawa kembali kepada sejarah perlantikkan Raja Ismail yang ketika itu Raja Bendahara menjadi Sultan Perak ke 22 dengan gelaran Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah. Menurut catatan McNair, Raja Ismail bukan pewaris keturunan diraja Perak. 
“he (Raja Ismail) was not of the blood royal and his only claim ti the position was that he had married into royal family, and than placed in the rulling seat he was kept there by intrique”.

Sudah tikanya, dengan campurtangan “tangan ghaib” Eropah-Cina dengan memberi sokongan dan bantuan kewangan kepada Sultan Abdullah supaya membuat tuntutan semula terhadap takhta Perak terhadap Sultan Ismail. Maka bermula kisah campurtangan pihak kolonial di bumi berdaulat ini.

Sultan Abdullah Muhammad Shah II, terlalu berkehendak menaiki takhta pemerintah di Negeri Perak, Baginda memerlukan sokongan daripada kuasa asing untuk menyanggah sokongan orang-orang Besar Perak iaitu Ngah Ibrahim terhadap Sultan Perak yang sah ketika itu (Sultan Ismail). Kuasa besar tersebut ialah British. Termetrainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Di antara tokoh yang terlibat dalam perjanjian Gabenor negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke mewakili pihak kolonial, manakala di kalangan pembesar Melayu Sultan Abdullah, Bendehara Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato Sagor.

Catatan sejarah ada menyatakan bahawa Raja Abdullah telah melakukan kesilapan dengan memberi laluan mudah pihak Inggeris untuk mencampuri urusan pentadbiran negeri Perak. Sir Andrew Clarke dengan lantang dan berani menurunkan kuasa pemerintahan Sultan Ismail sebagai Sultan Perak ke 25 dan menukar gelaran Sultan kepada Sultan Muda yang diberi pencen $1,000 setiap bulan. Manakala Ngah Ibrahim tidak diperakui sebagai pemerintah di Larut lagi. Perjanjian yang bagaimana dipersetujui tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf ketika itu. Berikut 14 perkara yang termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1874;

1.Raja Muda Abdulah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
2.Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
3.Segala perlantikan pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.
4.Kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
5.Semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
6.Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang pegawai British yang dinamakan Residen. Pegawai ini akan ditauliahkan ke istana Sultan, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
7.Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
8.Pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab pertama daripada hasil Negeri Perak.
9.Peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
10.Pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.
11.Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut: Dari Bukit Segari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang [antai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.
12.Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
13.Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.
14.Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.

Sememangnya sejarah tidak boleh diubah lagi, kita perlu pelajari dengan membuat penelitian dan pengkajian sejarah agar generasi milinieum tidak pernah menggulangi kesilapan yang pernah dilakukan satu ketika dahulu. Penjajahan seperti dulu tidak lagi mungkin berlaku, tapi penjajahan minda tetap berakar dalam nalar bangsa yang merdeka.

Penulis ingin melihat dampak daripada Perjanjian Pangkor 1873;

a.Sistem penggiliran menaiki takhta Sultan Perak sengaja dicemari oleh pihak kolonial dengan sewenang-wenangnya memberi gelaran Sultan Muda Ismail. Ketika itu, Perak memiliki dua sultan.
b.Perak terpaksa menerima penempatan seorang Residen bagi menguru ke semua urusan pentadbiran di Perak kecuali pada istiadat orang Melayu dan agama sahaja.
c.Pihak istana perlu menanggung pembayaran gaji kepada Residen dan Penolong Residen di Perak. Kemudahan tempat tinggal Residen perlu disediakan seperti mana layaknya seorang sultan bersemayam di Istananya.
d.Segala peruntukan dan perbelanjaan sultan, pembesar-pembesar negeri Perak di bawah selian Residen melalui hasil dapatan negeri Perak.
e.Kerugian dan kemusnahan akibat keadaan kacau bilau di Larut di bawah jajahan Ngah Ibrahim mesti dibayar ganti rugi walaupun keadaan sudah tenang dan keputusan Residen merupakan keputusan yang muktamad.
f.Ngah Ibrahim dipaksa mengaku segala hutang akibat menyelesaikan pergaduhan di Larut perlu dimaklumkan kepada Kerajaan negeri-negeri Selat. Segala kos pembiayaan ditanggung oleh kerajaan Negeri Perak.
g.Pembesar-pembesar Melayu tidak dibenarkan lagi mengutip cukai, Residen Inggeris akan bertanggungjawab atas pungutan cukai dan menyelia perbelanjaan cukai tersebut.

Walaupun Sultan Abdullah Muhammad Shah II sah dilantik sebagai Sultan Perak ke 25 berdasarkan Perjanjian Pangkor 1873, hubungan Sultan Abdullah semakin keruh dan renggang kerana pembesar-pembesar Melayu Perak tidak bersetuju atas perlantikan Baginda. Sultan Ismail masih Sultan Perak yang sah (atas persetujuan pembesar-pembesar Melayu Perak). 

Satu kajian yang bertajuk “Konflik dan Campurtangan Asing: Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim 1869-1875” menyatakan bahawa konflik perebutan takhta menjadi punca utama konflik ini, sebaliknya perbalahan sudah kian lama berlarutan perebutan hak milik daerah Larut yang kaya dengan perlombongan bijih timah. Konflik lebih bersifat peribadi bukan bersifat perebutan takhta pemerintahan di Perak. 

Rumusannya, melalui pembacaan dan penelitian penulis berpendapat punca utama campurtangan Inggeris ke atas negeri Perak berpunca daripada masalah dalaman sendiri. Perebutan Takhta dan Perselisihan Lama boleh dijadikan andaian berlakunya campurtangan British di Perak. 

3.Ketidakstabilan ekonomi Perak

Catatan McNair “Perak and the Malays: Sarong and Kris” menggambarkan pada kurun 19 Perak sebuah negeri dalam keadaan nazak dan di landa kekacauan serta kemerosotan ekonomi. Perebutan kuasa di antara pembesar-pembesar Melayu dengan golongan diraja sehingga mencetuskan keganasan tanpa memikirkan penderitaan kepada rakyat jelata.

Perang Larut I

Imigrasi buruh cina di perlombongan bijih timah di Larut danLembah Kinta sudah tidak terbendung dan menimbulkan masalah pergaduhan dua kongsi gelap iaitu Ghee Hin dan Hai San yang tinggi dua kawasan penempatan yang berasingan. Tetapi tiada sempadan mutlak bagi kedua kumpulan tersebut. Akhirnya keinginan menguasai kawasan bijih timah tercetus, pada tahun 1861, Seorang pelombong Hai San bergaduh dengan jirannya dari Ghee Hin sebab pelombong Hai San menyekat aliran air daripada mengalir ke lombong puak Ghee Hin. (After much arguing, fighting, plundering, deaths etc) Puak Ghee Hin yang kecil bilangannya melari diri ke Permatang, dan mengadu ke Residen Kaunselor British di Pulau Pinang. British menetapkan wang ganti rugi sebanyak $17, 500 dibayar oleh Sultan Perak kepada puak Ghee Hin, dan Sultan Perak menitah Ngah Ibrahim untuk menjelaskan bayaran itu.

Perang Larut II

1865: Pertengkaran di sebuah kedai judi di Klian Pauh, seorang anggota puak Ghee Hin ditikam oleh puak Hai San. (After more fighting, murdering, kidnapping and war), Ghee Hin yang kalah melari lagi ke Pulau Pinang dan menuntut Gabenor NNS membayar ganti rugi. (Hai San menang sebab mendapat bantuan dari Ngah Ibrahim) Kerajaan British enggan campur tangan untuk kali kedua. Kemenangan Hai San mendorong mereka untuk melanjutkan pertikaian itu ke P. Pinang. Hai San bergabung dengan Toh Peh Kong dan Bendera Merah (kongsi gelap orang Islam Melayu dan India), manakala Ghee Hin bergabung dengan Bendara Putih
Rusuhan besar-besaran meletus di P. Pinang sepanjang 5 hari. British menghentikan rusuhan tersebut dan mendendakan $5,000 atas kedua-dua pihak. Ketua-ketua kumpulan kongsi gelap ditangkap dan dibuang negeri.

Perang Larut III

Lee Ah Khun, ketua puak Ghee Hin mengadakan hubungan sulit dengan isteri pemimpin puak Hai San. Lee Ah Khun dan wanita tersebut ditangkap oleh Hai San, diseksa dan dimasukkan ke dalam keranjang babi untuk diarak sebelum dibunuh.

Puak Ghee Hin membuat serangan mengejut dan berjaya menewaskan puak Hai San. Ngah Ibrahim tidak memberi bantuan kepada puak Hai San, tapi menyewakan tongkang-tongkang bagi membantu puak Hai San melarikan diri ke P. Pinang. Puak Hai San menanggap bantuan Ngah Ibrahim sebagai satu helah untuk mengusir mereka keluar dari Larut. Ini terbukti apabila Ngah Ibrahim menyerahkan kuasa ke atas lombong-lombong tinggalan Hai San kepada Ghee Hin dengan kenakan cukai yang lebih tinggi.

(More wars later) Keadaan menjadi lebih teruk apabila Raja Abdullah menyokong Ghee Hin, dan Ngah Ibrahim menyokong Hai San dengan bantuan senjata dan tentera. Keadaan ini membimbangkan British kerana pergaduhan tersebut semakin hampir dengan sempadan daerah British di Seberang Perai.

Perjanjian Pangkor 1874 bukanlah menjadi medium utama, pihak British campurtangan dalam negeri Perak, sebaliknya Peristiwa Perang Larut sudah menjadi pembuka bicara dengan bantuan yang diberikan kepada Ngah Ibrahim dalam menyelesaikan konflik pergaduhan kongsi gelap di Larut dan Lembah Kinta. 

4.Pembunuhan Residen J.W.W Birch di Pasir Salak

Kesepakatan Sultan Abdullah Muhammad Shah II dengan Sir Andrew Clarke dalam Perjanjian Pangkor 1874 dengan membenarkan kehadiran Residen British pertama di Perak iaitu J.W.W Birch yang pada dasarnya membantu Sultan Abdullah mengurus, menggelola dan mentadbir pengurusan di Perak kecuali hal yang berkaitan dengan istiadat Melayu dan agama sahaja bukan di bawah kuasa Residen. Namun, Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu ternyata kehilangan kuasa dalam urusan pentadbiran negeri terutama sekali yang berkaitan dengan kuasa memunggut cukai bukan lagi di bawah kuasa pembesar-pembesar Melayu mahupun Sultan Abdullah sendiri. Tambahan kebiadapan dan kelancangan JWW Birch mengundang dan menyemarakkan lagi api kemarahan di kalangan rakyat negeri Perak. Perbuatannya yang tidak menghormati hak orang Melayu sudah tidak terbatas lagi, menurut catatan sejarah JWW Birch mempunyai tabiat yang sangat buruk iaitu suka melarikan anak gadis dan isteri-isteri orang Melayu. Kemuncaknya, JWW memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat penyerahan kuasa memerintah sepenuh kepada pihak British menyebabkan timbulnya rancangan membunuh JWW Birch.

Penulis ingin menggunakan pepatah Melayu “Pantang Melayu Menderhaka” titah Sultan Abdullah kepada Dato Maharaja Lela, Pandak Endut, Ngah Ibrahim, Siputum dan Dato Sagor supaya segera menamatkan riwayat JWW Birch pada 2 November 1875 bukan sahaja tercatat dalam lipatan sejarah Tanah Melayu malahan Sejarah Dunia sekalipun terpaku dengan tindakan berani pejuang-pejuang Melayu khususnya dalam meniup api kebangkitan dan penentangan terhadap kaum penjajah tercetus pada tarikh tersebut. Titah sultan berjaya dilaksanakan, JWW Birch mati ditetak oleh Siputum pada 2 November 1875 termasuk penterjemahnya iaitu Mat Arshad turut menjadi mangsa bisa keris Melayu.

Kolonial British terus mengirimkan angkatan tenteranya untuk menumpaskan kumpulan penentang yang diketuai oleh Dato Maharaja Lela di Pasir Salak. Sejumlah 60 askar British dari Rejimen ke10 dan 30 anggota polis dari Pulau Pinang telah mendarat di Pasar Salak dan menyerang kubu orang Melayu pada tarikh 5 November 1875. Namun keampuhan dan kekebalan kubu menjadi mimpi ngeri kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir William Francis Drummond Jervois telah meminta kekuatan tentera dari London, India dan Hong Kong. Jumlah kesemua kekuatan tentera kolonial seramai 300 tentera dari Rejimen ke80 dari Hong Kong, 1400 tentera British dari India Rejimen ke3, 1St Gurkhas The Madras Sappers. Kekuatan pejuang Melayu sekitar 800 orang sahaja. 

Penulis artikel ini, tidak menjurus begitu mendalam tentang peperangan di Pasir Salak 1875, cuma yang perlu penulis sematkan dalam usaha pihak kolonial menghapuskan penentangan di Perak, semestinya mereka sedar bukan setakat JWW Birch menjadi korban pertama di Perak. Senjata orang Melayu masih lagi ketagih dengan bau hanyir darah penjajah, dalam siri serangan yang dilakukan oleh pihak British turut mengorbankan pegawai atasan mereka antaranya;

i.Kapten Innes
ii.Brigadier H.J Hawkin 

Dato Maharaja Lela dan pengikut-pengikut telah berjuang habisan walau terpaksa berundur ke Kampung Kota Lama Kanan sehingga Enggor. Pada tarikh mulanya serangan iaitu 5 November 1875 sehingga 17 Febuari 1876 tertangkapnya Dato Maharaja Lela dan pengikutnya. Penulis beranggapan pihak British mengambil masa selama 3 bulan untuk menumpaskan pejuang-pejuang yang dipimpin oleh Dato Maharaja Lela. Pihak British hanya hebat dalam pentempuran terbuka, kemahiran dan kehebatan pejuang-pejuang Melayu mengatur strategi perang menggusarkan pihak British. Strategi berundur, bertahan dan menyerang balas memerangkap tentera British. Keadaan kubu yang dibina di dalam hutan sedikit sebanyak menjadi kelebihan pejuang-pejuang Melayu. Siapa yang tidak kenal dengan kehebatan Siputum? Catatan sejarah ada menyatakan beliau dari golongan orang asli yang semestinya mahir dengan selok belok di hutan. Penggunaan herba-herba dan akar-akar kayu dijadikan ramuan dan ubatan semasa merawat pengikut yang cedera dalam pertempuran. 
Tertangkapnya pejuang-pejuang Melayu ini bukanlah disebabkan mereka menjadi tawanan dalam perang, tetapi mereka dikhianati oleh bangsa sendiri yang terpancing dan termakan dengan sogokan tawaran hadiah kepada sesiapa yang membantu pihak British menangkap pejuang-pejuang ini. Berikut tawaran yang dibuat oleh pihak British;

a.Dato Maharaja Lela - $6,000
b.Dato’ Sagor dan Pandak Endut - $3,000

Manakala Raja Ismail melarikan diri bersama ahli keluarganya dengan beberapa kelengkapan alat kebesaran negeri Perak merentasi hutan belantara menuju ke Kedah bagi mendapatkan perlindungan di Kedah. Sultan Ismail mengarahkan pokok-pokok yang dilaluinya mesti ditebang yang bertujuan melambat-lambatkan pergerakkan tentera British untuk menangkapnya. Atas nasihat Sultan Kedah meminta Raja Ismail menyerahkan diri di Pulau Pinang pada 7 Mac 1876.

Dato Maharaja Lela, Pandak Endut, Dato’ Sagor dan Siputum dijatuhi hukuman gantung sampai mati, manakala Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Ngah Ibrahim dan Laksamana Muhammad Amin dikenakan hukuman buang ke Pulau Syschells. Raja Ismail dan ahli keluarganya bersama Panglima Semaun yang ditangkap dibawa ke Singapura sebagai tahanan. 

Tamatnya penentangan orang Melayu di Perak menjadi satu kemenangan pihak Kolonial tetapi mereka perlu menghadapi siri-siri kebangkitan penentangan orang Melayu di negeri taklukan mereka. Penulis berpendapat tarikh kemerdekaan Tanah Melayu sebenarnya sudah bermula tarikh di mana JWW Birch mati dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875. 

Rujukan

1.Ramli, Lizawati (2015) “Konflik dan Camputangan Asing; Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim 1860-1875” Universiti Sains Malaysia.
2.https://www.orangperak.com/perincian-kisah-detik-terakhir-jww-birch-bernafas.html
3.http://sultan.perak.gov.my/index.php/informasi-kesultanan/senarai-sultan-perak




No comments:

Post a Comment

Sekilas Sejarah - Menuruti Nalarku

Manusia yang bertamadun lahir daripada masyarakat yang mempunyai coretan sejarahnya. Tanpa sejarah manusia tidak akan mengenali dirinya sen...