Kemasyhuran negeri Perak bukan sahaja terletak kepada kekayaan bijih timahnya, tetapi diperkuatkan dengan kebijaksanaan dan kewibawaan pembesar-pembesar negeri Perak. Kedatangan 5 Daeng bersaudara ke Tanah Melayu sememang banyak diperkatakan dalam catatan sejarah. Mereka terdiri daripada 1. Daeang Parani, 2. Daeng Menambun, 3. Daeng Marewah, 4. Daeng Chelak, 5. Daeng Kemasi.
Ketokohan Daeng di Perak
1. Daeng Selili
Pada tahun 1743, beliau yang juga bergelar Haji Besar oleh kerana serbannya putih dan besar yang mengikut gaya Panglima perang Uthmaniyyah Turki, berjaya menghapuskan lanun di Pulau Sembilan dan menyerahkannya kepada Sultan Mudzaffar Shah III (1728–1952). Beliau diiringi bersama dengan anaknya yang bernama Petta Torawi dan Petta Tosiangka bersama armada jong-jong yang banyak dan besar.
Beliau kemudiannya dikahwinkan dengan adinda baginda yang bernama Raja Tengah (Raja Su binti Almarhum Raja Mansur) dan dikurniakan 4 orang anak. Habib Muhammad Abdullah digelar juga Tok Senggang atau Tok Anggang. Pembuka Kampung Senggang, Kuala Kangsar.
Muhammad Utsman dengan gelaran Seri Maharaja, keturunan mereka inilah meneruskan pangkat Dato Sri Maharaja Lela. Muhammad Abdul Qadir dikenali juga sebagai Daeng Mat Tara dengan gelaran Tok Tongkat dua kepala naga. Nur Zurizan (perempuan) atau dikenali juga Nurjilisan atau dikenali juga sebagai Opah Bakul atau Tok Bakul. Anak-anak hasil perkahwinan isteri keempat Daing Selili iaitu Raja Tengah (Raja Su binti Almarhum Raja Mansur) tidak ramai kerana beliau seorang pahlawan atas Jong yang kerap berlayar melawan penjajah di sekitar perairan di Nusantara. Beliau menggunakan banyak nama dan gelaran bagi mengelakkan zuriat dan keluarganya daripada dikesan dan diancam.
Beliau dilantik menjadi Mufti Perak. Kemudian, beliau dilantik menjadi orang besar Perak dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Maharaja Lela Tan Lela Putera Panchong Tak Bertanya.
Keturunannya yang menetap lama di Perak, maka telah berlakunya asimilasi dengan masyarakat Melayu Perak sehingga budaya, bahasa dan tulisan suku Bugis Jong tidak dikenali lagi melainkan sekadar pengakuan/sejarah lisan. Namun begitu, semenjak pembunuhan residen British pertama Perak J.W.W. Birch (James Wheeler Woodford Birch) oleh keturunan beliau iaitu Dato Maharaja Lela. Semua rekod bertulis tulisan Bugis dan segala peralatan kebesaran dihapuskan begitu sahaja.
Makam beliau telah digazet pada 21 Februari 1980 dengan nombor gazet P.U. (A) 45 Daerah Kuala Kangsar, Mukim Sayong, Lot No. 1803.
2. Daeng Kuning
Yang paling terkenal sekali adalah Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning. Tengku Daeng Kuning adalah merupakan anak kepada Raja Bugis dari Makassar, Sulawesi. Gelaran Panglima Hitam yang dipegangnya amat sesuai dengan dirinya yang berilmu dengan seni persilatan yang tinggi dan sentiasa memakai pakaian yang berwarna hitam. Tengku Daeng Kuning atau Panglima Hitam sampai ke kepulauan Tanah Melayu pada 1813.
Peta Sulawesi ke Taiping, Perak
Tengku Daeng Kuning bersama-sama dengan enam saudara yang lain datang ke kepulauan Tanah Melayu dan apabila sampai ke kepulauan Tanah Melayu, mereka masing-masing membawa haluan sendiri mengikut ilmu dan firasat masing-masing mencari kawasan baru. Maka mereka bertujuh berpecahlah disana dan Tengku Daeng Kuning memilih untuk ke Taiping di negeri Perak dan yang lain-lain ada yang ke Pahang, Kedah, Terengganu, Johor, Selangor dan Melaka.
Ia adalah simbol kepada seseorang yang tinggi ilmunya dalam persilatan dan mempunyai keberanian yang tinggi serta kesetiaan yang teguh kepada raja dan negara dan Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning adalah yang paling terkenal dari yang lain. Gelaran Panglima Hitam kini telah diguna pakai oleh Pasukan Khas Laut (Paskal), TLDM sebagai Kapal DiRaja (KD) Panglima Hitam.
Pasukan elit PASKAL dikenali sebagai Panglima Hitam
Legasi Daeng Kuning - Cicitnya Pengasas@Mahaguru Seni Silat Gayong Malaysia - Dato' Meor Abdul Rahman Bin Uda Hashim.
Dato' Meor Abdul Rahman
Kenalkah anda pada Dato’ Meor Abdul Rahman? Beliau adalah cicitnya Daeng Kuning. Insan hebat dan dihormati ini dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di sebuah kampung yang bernama Kampung Lake Garden yang terletak di bandar Taiping dalam negeri Perak. Arwah Dato Meor Abdul Rahman dilahirkan dari keturunan Bugis yang punyai kaitan dengan Daeng Kuning yang dikenali sebagai Panglima Hitam di Perak.
Syarifah Aluyah Binti Syed Zainal al–Attas adalah nama ibu kepada Dato Meor Abdul Rahman manakala bapanya bernama Uda Mohd Hashim Bin Daeng Che Ngah. Daeng Che Ngah ini iaitu datuk kepada Dato Meor Abdul Rahman adalah merupakan anak kepada Raja Bugis dari Makassar, Sulawesi dan beliau adalah Panglima Hitam di negeri Perak.
Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim mempunyai 2 orang adik beradik seibu sebapa iaitu Meor Abdul Aziz dan Siti Saadiah. Selain itu, arwah Dato Meor Abdul Rahman juga punyai 3 orang saudara perempuan seibu dari perkahwinan ibunya yang terdahulu.
Apabila Dato Meor Abdul Rahman meningkat remaja, keluarga arwah Dato Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam yang terletak di Taiping.
Beliau mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan peringkat menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School seterusnya di Technical School, Ipoh sehingga tahun 1936.
Untuk makluman anda pembaca setia orangperak.com, pada asalnya Dato Meor Abdul Rahman mula menuntut ilmu persilatan dengan datuknya sendiri (ayah kepada ibunya) yang bernama Syed Zainal Bin Syed Idris al–Attas. Datuk sebelah ibunya adalah seorang hulubalang negeri Pahang yang terkenal.
Dato Meor Abdul Rahman, Pengasas Silat Gayong Malaysia Dari Taiping
Datuknya Syed Zainal Bin Syed Idris al–Attas hidup satu zaman dengan pahlawan melayu lain yang hebat seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah. Sejak kecil lagi Dato Meor Abdul Rahman disajikan dengan kisah-kisah pahlawan dan cerita sejarah perjuangan bangsa melayu dari datuknya sendiri.
Berbeza dari rakan-rakan Dato Meor Abdul Rahman yang sama-sama berguru dengan datuknya. Arwah Dato Meor Abdul Rahman menerima latihan intensif setiap hari siang dan malam. Beliau hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk menuntut dan berkhatam ilmu persilatan dengan datuknya itu.
Sejak dari zaman persekolahan menengah lagi, arwah Dato Meor Abdul Rahman sering berulang–alik ke rumah kakaknya yang bernama Hendon (kakak seibu dari perkahwinan ibunya yang terdahulu) di Kota Sarang Semut di Kedah.
Arwah Dato Meor Abdul Rahman dikatakan amat ramat dengan Hendon dan suaminya yang bernama Zainal Abidin seorang anggota polis berpangkat inspektor.
Pernah ada satu cerita yang mana sewaktu arwah Dato Meor Abdul Rahman keluar berburu bersama-sama dengan abangnya Meor Abdul Abdul Aziz dan sepupu bernama Bidin di Kuala Dang, Ulu Kedah. Ketika leka berburu dalam hutan, Dato Meor Abdul Rahman tersesat sehingga ke Padang Senai.
Di Padang Senai, arwah Dato Meor Abdul Rahman telah berkenalan dengan sepasang suami isteri yang bernama Pak Choh dan Tok Mek Jah yang menjual burung di pekan Rabu. Dato Meor Abdul Rahman mendapat bantuan dari suami isteri tersebut dan membawanya keluar dari hutan dan terus ke selatan Thailand iaitu ke rumah mereka di Mee Nam. Apabila tiba di rumah Pak Choh yang terletak di Mee Nam, arwah Dato Meor Abdul Rahman pun mandi di sungai yang ada di kawasan tersebut dan tidur berehat disana. Dalam tidurnya, arwah bermimpi ternampak satu lembaga menjelma yang berpakaian segak seperti hulubalang zaman kesultanan kerajaan Melayu Melaka. Lembaga tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Hang Tuah dan menyatakan Dato Meor Abdul Rahman perlu mengadap Sultan yang memerintah negeri Perak untuk menyembah taat setia. Apabila tersentak bangun dari tidur, arwah dapat rasakan ada perubahan dalam dirinya bagaikan diresapi kegagahan yang luar biasa.
Apabila pulang ke Taiping, arwah Dato Meor Abdul Rahman terus menceritakan pengalaman mimpinya itu pada ahli keluarganya yang lain. Selepas mendengar kisah tersebut, datuknya Syed Zainal Bin Syed Idris al–Attas mengarahkan cucunya itu Dato Meor Abdul Rahman untuk pergi menghadap Almarhum Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke 30) yang bersemayam di Manong, Perak.
Tanpa membuang masa, Dato Meor Abdul Rahman pun pergi menghadap Sultan Perak dan kemudian beliau dititah oleh sultan untuk menunjukkan kekuatannya yang luar biasa di hadapan sultan. Pada sebelah malam pula, arwah Dato Meor Abdul Rahman dititahkan untuk bersilat di Istana Iskandariah yang terletak di Bukit Chandan. Sultan Perak pada ketika itu Almarhum Sultan Iskandar Shah selaku Sultan Perak yang ke 30 berpuas hati dengan persembahan dan kegagahan Dato Meor Abdul Rahman. Baginda menggelarkan beliau sebagai Rahman Sendo dan menjadikannya anak angkat.
Jangan anda tidak tahu, arwah Dato Meor Abdul Rahman yang merupakan anak angkat Sultan Perak ke 30 ini pernah tinggal di istana bersama-sama dengan sultan Perak sehinggalah Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat pada tahun 1938.
Pernah juga pada satu ketika dahulu ada individu yang mengishtiharkan dirinya adalah Mat Kilau. Lantas Dato Meor Abdul Rahman pun turun ke Pulau Tawar yang teletak di Jerantut, Pahang untuk bertemu dengannya. Ada perkhabaran yang menyatakan bahawa ilmu persilatan yang dimiliki oleh Mat Kilau adalah sama dengan ilmu yang ada pada Dato Meor Abdul Rahman.
Rakaman video dibawah adalah rakaman yang dibuat oleh sebuah rancangan television dari Perancis yang memaparkan arwah Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim ketika berusia 70 tahun iaitu 6 tahun sebelum arwah meninggal dunia.
Pada 23 Jun 1991, Dato Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah dengan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Arwah meninggal dunia sewaktu berada di pangkuan anakanda kesayangan iaitu Puan Siti Fadzilah di Hospital Pakar Ipoh, Perak.





No comments:
Post a Comment