"Tuah ayam nampak di kaki, Tuah manusia tiada siapa yang tahu, Tuah Perak nampak di Gadingnya"
Kelestarian alam ketamadunan alam Melayu tidak pernah terpisah dengan kekayaan flora dan faunanya. Setiap pembawaan khazanah alam meliputi kedua elemen ini, sejarah ketamadunan manusia bukan sahaja melihat kepada hubungan manusia sesama manusia. Hubungan yang erat dengan isi alam memacu kemasyhuran dan kegemilangan sesebuah kerajaan. Sejarah kegemilangan dan Keagungan Kerajaan Melayu Melaka terkenal dengan pelabuhan Melaka yang memperdagangkan rempah ratus dan herba menjadi impian kekayaan sesebuah kerajaan. Sejarah di Tanah Melayu tidak melupakan khidmat bakti yang diperolehi daripada sumber haiwan-haiwan. Kerajaan Melaka juga mempunyai hubungankait dengan haiwan yang bernama kancil. Kisah burung garuda dengan sejarah Kedah, Kisah Gajah-Perak dan lainnya.
Hubungan kerajaan dengan haiwan bukan sahaja terjadi di Tanah Melayu, malahan ada juga kedapatan negara luar yang mempunyai sejarah bersama haiwan ini. Hikayat Singapura dilanggar Ikan Todak, Kerajaan Thailand terkenal dengan Gajah Putih. Kekuatan tentera yang memimpin dalam sesebuah peperangan boleh dinilai dengan kekuatan dan kehebatan gajah. Al-Quran sendiri telah memperlihatkan kepada kita tentang kisah al-Fill (Gajah), Al-An'kabut (labah-labah), An-Nahl(semut), Al-Baqarah (Sapi Betina). Semakin jelas kehadiran haiwan mempunyai hubungan dengan kehebatan sesebuah kerajaan ketika itu.
Negeri Perak mempunyai hubungankait yang sangat erat dengan gajah. Golongan pembesar-pembesar Melayu banyak menggunakan khidmat gajah dalam urusan pentadbiran (politik, ekonomi dan sosiobudaya). Sejarah awal Perak telah melakarkan kisah hubungan gajah dengan pemerintah Sultan Muzaffar Shah I, di mana Tok Temong yang menghadiri istiadat pertabalan Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I dengan membawa "Mustika Embun" yang diiringi dengan 77 ekor gajah.
Catatan sejarah yang ditulis oleh Sir Frank Swettenhem dalam bukunya 'A Real Malay' yang membicarakan tentang kebolehan luar biasa orang Melayu di Perak yang pandai memujuk dan memelihara gajah. 3 Kisah Gajah di negeri Perak...
1. Kisah Gajah Chapang Pileh -
Berlakunya Perang Perak dengan Siam pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin yang memaksa Perak membayar ufti bunga emas kepada kerajaan siam untuk setiap tahun. Namun pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Malik Mansur Shah telah menghadiahkan kepada Raja Rama II (raja siam) seekor gajah yang ganjil yang bernama Chapang Pileh yang dijumpai oleh Toh Muda Panglima Kinta sewaktu berada di dalam hutan Kinta. Kemudian raja Siam (Raja Rama II) amat menyukai pemberiaan tersebut yang akhirnya membawa pembebasan Perak dari Kekuasaan Siam.
2. Kulup Chandan, Gajah Kesayangan Sultan Yusuf
Pada peringkat awal, tidak ada istana dibina kukuh daripada batu untuk Sultan Perak bersemayam. Istana Sultan Perak cuma rumah yang dibina daripada kayu yang bermutu tinggi sahaja yang dibina di tepi Sungai Perak. Kawasan di tepi sungai Perak terutama di Hilir Perak yang sememangnya tidak ada kawasan berbukit-bukau.
Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, baginda telah membuat istana (Istana Negara) di atas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari (Sungai Perak) kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah.
Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan. Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan.
Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu.
Setibanya baginda di kaki gunung, baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata, “Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana di atas bukit yang di pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu…”.
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan “orang tua” tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
3. Si Larut - Penemuan Kilauan Perak (Bijih Timah)
Kisah di Taiping semuanya bermula apabila seekor gajah bernama Si Larut milik Long Jaafar tiba-tiba hilang. Setelah beberapa hari mencari akhirnya Si Larut telah berjaya ditemui di tapak yang kini menjadi Penjara Taiping.
Walaubagaimanapun, setelah Long Jaafar menjumpai gajah tersebut, beliau berasa agak hairan melihat gajahnya diselaputi lumpur yang keras dan seperti ada butiran-butiran logam.
Pelik dengan kejadian itu, Long Jaafar mengambil keputusan untuk menyiasat perkara tersebut. Setelah mengetahui ketulan yang menyelaputi Si Larut itu adalah bijih timah, Long Jaafar telah pergi ke Pulau Pinang dan berjaya membawa balik 20 orang Cina ke Larut untuk menjalankan kegiatan perlombongan.
Selepas itu, lombong bijih timah yang dibuka oleh Long Jaafar di Klian Pauh telah mendapat keuntungan besar. Keadaan itu menyebabkan semakin ramai orang Cina berhijrah ke Larut untuk menjadi pelombong bijih timah. Dipercayai nama daerah itu dinamakan Larut sempena nama gajah Long Jaafar.
Masih banyak lagi kisah yang melibatkan hubungan gajah dengan manusia terutama di negeri Perak. Namun garapan di sini hanya membatas gajah pada zaman kesultanan Melayu Perak sahaja.
No comments:
Post a Comment