TAJUK UTAMA

SEJARAH TIDAK BOLEH DIUBAH FAKTANYA NAMUN SEJARAH PERLU DITELUSURI SEHINGGA MERUNGKAI MISTERI DAN MERUNGKAP IBRAHNYA

Monday, March 30, 2020

Tumpah Darah..Ulu Lenggong

Sudah pastinya rakyat Malaysia tidak akan melupakan tragedi serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis, Bukit Kepong. Filem 'Bukit Kepong' arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menjadi tontonan generasi kini. Masih banyak lagi kisah tragis yang tidak dapat dirungkapkan sehingga kini, gugurnya mereka mempertahankan kedaulatan tanahair daripada diinjak sewenang-wenangnya musah pengganas komunis.


Insan yang terpilih...syahid mempertahankan kedaulatan negara...al-fatihah

Perak masih lagi menyimpan 1001 kisah tragis sikap kedurjanaan pengganas komunis antaranya serangan pengganas komunis di Kampung Beko, tragedi Kemahang, tumpah darah di Ulu Lenggong dan pembunuhan Ketua Polis Perak dan lain-lain lagi. Garapan kali ini mengisahkan kisah keberanian dan pengorbanan anggota tentera dari 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bertugas di Ulu Lenggong, Perak. Sudah sebulan lamanya mereka berkorban meninggalkan keluarga jauh di perantauan orang. 2 hari lagi, mereka akan dibenarkan pulang bercuti untuk menemui anggota keluarga di Sg. Petani, Kedah. 

Pengganas komunis sememangnya tidak bertepian, ancaman masih belum reda.  Tugasan yang mereka tinggalkan sebentar tika akan digalas oleh pasukan lain. Namun hasil risikan dan pemantauan Pegawai Pemerintah (OC) telah membatalkan permohonan cuti anak buahnya kerana ada kedapatan pergerakkan komunis yang perlu di tindak segera bagi mengekang ancaman pengganas komunis. 

Arahan tugasan diberikan kepada Lans Koperal Hashim. Standard pelaksanaan operasi menentukan ketua (Incharge) akan duduk di sebelah pemandu trak yang dipandu oleh Prebet Jamil bin Abdul Hamid, walau bagaimana pun perbuatan Lans Koperal Hashim disanggah dengan permohonan oleh rakan Prebet Jamil iaitu Prebet Jamil bin Mahmud meminta kebenaran untuk duduk disebelah rakannya itu. Walaupun perbuatan tersebut dilarang, tetapi memandang hasrat yang beria-ria daripada rakan seperjuangan tidak dapat menahan segalanya, maka kebenaran diberikan dengan syarat masa pulang nanti prebet Jamil kena duduk di belakang semula.


Tarikh 29/10/1981 jam 0900, trak Volva seberat 3/4 tan bergerak menelusuri jalan tanah merah Kampung Air Panas, Ulu Lenggong. Siapa yang mampu menyekaat takdir Allah SWT, segolek tayar trak sejauh 1 km dari hadapan kem berlaku satu letupan bom yang kuat kemudian disusuli dengan terjahan pelancar roket yang menjadi habuan penghuni di dalam trak tersebut. Manakala hadapan kem turut menerima serangan bertali arus yang tiada tahu punca arahnya.


Serangan komunis di Ulu Lenggong, Perak 1981

Berdenting-denting peluru terus menerobos kemampatan besi trak volvo, dalam kekalutan itu Md. Said sempat meloloskan diri dengan terjun dari tebing dan bergolek dan bersembunyi di bahagian bawah trak tersebut dengan kecedaran yang parah tiada upaya mampu olehnya menyelamatkan nyawa rakan-rakannya, hanya mampu doa ke hadrat ilahi agar dilindungi rakan-rakannya. Dari masih membuak-buak mencembur merata tempat, rakannya Shafie yang tidak jauh daripadanya mengalami serangan yang paling menakutkan. Belakang Shafie terbakar akibat daripada serangan roket pengganas komunis. 

Penderitaan yang dialami oleh Shafie dan Md Said tidak terungkap lagi dengan penderitaan rakannya Jamil Senyum yang hanya mampu meluahkan ungkapan "mak...mak..." kerakusan pengganas tiada perikemanusiaan lagi terus dihujani tembakan pelbagai jenis ke tubuh Jamil Senyum yang menamatkan hembusan nafasnya. Perginya rakan seperjuangan dalam keadaan terbaring mengadap ke langit yang menyaksikan dadanya dirobek dengan puluhan das tembakan senjata komunis.

Satu lagi jasad pejuang bangsa, Jamil wa didapati terbaring di sebelah tayar trak yang ditarik keluar daripada tempat pemandunya. 
Khambali, Md Mendeka, Mazlim dan Rosli terkorban secara bertindan di dalam trak menghadapi ilahi sebelum sempat mereka menemui ahli keluarga di kampung. 

Paling memilukan hati, tatkala serangan pengganas berakhir gerakan rakan-rakan mencari dan membantu rakan yang tercedera dan terkorban termasuklah Shafie dan Md Adam. Ketika mereka mengangkat tubuh rakan mereka yang syahid jelas kedengaran derapan tulang menulang patah akibat tembakan peluru yang bersarang di tubuh mereka. Setiap mayat dikurang daripada 30 butir peluru yang diguna daripada senjata mereka yang dirampas oleh pengganas komunis. 3 orang anggota melarikan diri daripada melaksanakan tugas mencabut peluru yang terpahat di tubuh rakannya. Lari bukan bererti takut tetapi tidak mampu menahan kesedihan yang menimpa.



Saturday, March 28, 2020

Amalan Ayat 4...Kekuatan Bekor 1946


Kampung Bekor adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dengan penduduk seramai 400 orang. Pusat penempatan adalah dua deretan rumah kedai di jalan utama yang diduduki oleh peniaga-peniaga bangsa Cina yang dikelilingi oleh perkampungan Melayu. Pengangkutan utama adalah menggunakan perahu, memandangkan tiada jalan darat yang menghubungi Bekor dengan pekan-pekan utama lain seperti Parit dan Kuala Kangsar. Jalan darat yang ada hanyalah lorong pejalan kaki yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki atau berbasikal.



Semasa era pendudukan tentera Jepun di Malaya (link disini), Bekor merupakan tempat penduduk Malaya berbangsa Cina lari menyelamatkan diri dari kekejaman tentera Jepun. Ini adalah kerana kawasannya yang terpencil dan mungkin tidak mempunyai apa-apa kepentingan strategik kepada pihak Jepun. Pihak Koumintang dan Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) turut menjadikan Bekor sebagai tempat persembunyian dan operasi. Bekor mempunyai laluan selamat ke Sungai Siput yang ketika itu merupakan kawasan utama MPAJA.


MPAJA dikenali juga Bintang Tiga

MPAJA berjaya mempengaruhi sebahagian besar penduduk Bekor untuk menyokong perjuangan mereka, manakala kehadiran Koumintang pula tidak begitu disenangi kerana mereka cuba mengenakan cukai terhadap tanaman seperti padi huma yang ditanam oleh penduduk-penduduk di Bekor. Pemuda-pemuda Bekor yang patriotik mendapatkan lathan dengan MPAJA kerana ianya satu pasukan gerila yang mendapat bantuan persenjataan dari British. Pemuda-pemuda ini dihantar ke Sungai Siput untuk mendapat latihan lanjutan. Bagaimanapun tidak semua bersetuju dengan ideologi komunis yang dibawa oleh MPAJA.


Apabila tentera Jepun menyerah diri secara mengejut pada 15 Ogos 1945, pasukan tentera British yang pertama tiba di Malaya pada 3 September 1945. Hanya pada 12 September 1945, British Military Administration (BMA) ditubuhkan di Kuala Lumpur. Bermula tarikh itu, BMA telah diberi mandat untuk memerintah Malaya. MPAJA bagaimanapun enggan menyerahkan senjata walaupun pasukan mereka seramai 6,800 anggota telah dibubarkan dengan rasmi oleh BMA. Di anggarkan 4,000 anggota MPAJA yang terlatih dikekalkan dan sebahagian besar senjata disorokkan oleh mereka.


Sepanjang kekosongan kuasa (15 Ogos 1945 hingga 3 September 1945), MPAJA telah keluar dari persembunyian dihutan-hutan dan mendirikan pentadbiran dikawasan yang mereka kuasai. Pihak MPAJA yang mempunyai pengaruh yang kuat di Bekor telah menjadikan Bekor sebagai pusat pentadbiran untuk daerah Kuala Kangsar. MPAJA telah menjadikan sebuah sekolah di Bekor sebagai pejabat mereka, dan disinilah arahan-arahan dikeluarkan untuk memburu musuh-musuh mereka yang dahulunya penyokong kepada pemerintahan tentera Jepun. Unit-unit pemburu MPAJA ini juga terdiri dari anggota-anggota berbangsa Melayu selain majoritinya Cina. Sekolah tersebut juga dijadikan markas operasi untuk menyoal siasat, menyeksa dan membunuh individu yang bersimpati dengan Jepun.

Thursday, March 26, 2020

Ketua Polis Perak...Mangsa Kebejatan Petulang Rimba

Tan Sri Khoo Chong Kong (DCP G/4218) adalah Ketua Polis di negeri Perak. Beliau pada asalnya adalah seorang anggota polis yang berkhidmat di negeri Sarawak dan telah ditukarkan oleh Polis Diraja Malaysia ke negeri Perak untuk dinaikkan pangkat dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis di negeri Perak Darul Ridzuan. 

Kisah tragis yang melanda Ketua Polis Perak berlaku pada 13 November 1975. Apabila Tan Sri Khoo Chong Kong sedang dalam perjalanan pulang ke rumah beliau di Jalan Tower dari Jalan Raja DiHilir untuk makan tengah hari dengan menggunakan kenderaan rasminya. Terdapat 3 orang individu yang ada di dalam kenderaan tersebut iaitu pemandu, pengiring Sarjan Yeung Peng Chong dan juga Tan Sri Khoo Chong Kong sendiri. Apabila kenderaan rasmi yang membawa Ketua Polis Perak itu berhenti di lampu isyarat di Jalan Hospital, ada dua orang lelaki yang menunggang motosikal dengan menyamar sebagai pelajar dengan berpakaian seragam putih telah berhenti disebelah kenderaan rasmi Ketua Polis Perak tersebut. Dengan tidak semenanya, kedua-dua pengganas komunis itu terus melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pemandu, pengiring Sarjan Yeung Peng Chong dan juga ke arah Tan Sri Khoo Chong Kong. Pengiring Sarjan Yeung Peng Chong dan pemandu kenderaan rasmi Ketua Polis Perak dilaporkan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Tan Sri Khoo Chong Kong (Ketua Polis Perak) yang dalam keadaan kritikal sempat dikejarkan ke hospital berdekatan yang hanya sejauh 100 meter sahaja namun tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia kerana keadaannya yang cedera parah akibat tembakan dua pengganas komunis itu tadi.

Wednesday, March 25, 2020

Onar Bintang Tiga Di Perak 1948-1989

Siri kekejaman pengganas komunis di Perak antaranya;
  1. 3 orang peladang Inggeris telah dibunuh di Perak pada 16 Jun 1948. Peristiwa ini telah menyebabkan penjajah British mengisytiharkan darurat.
  2. ada 17 Jun 1968, segerombolan gerila komunis telah menyerang hendap konvoi pasukan keselamatan Malaysia di Pekan Kroh (Pengkalan Hulu) dan membunuh 17 anggota polis.
  3. Dalam satu peristiwa pada tahun 1970-an, komunis telah memusnahkan jentera dan peralatan membina jalan yang digunakan untuk membina Lebuhraya Timur-Barat.
  4. Komunis terus mengganas dengan membunuh Ketua Inspektor Chin Chin Kou pada 12 Julai 1973 di Serdang, Kedah. Diikuti 3 bulan kemudian, Detektif Sarjan Chong Kek Oh yang mati ditembak di Sungai, Siput, Perak.
  5. Pada 3 Januari 1974, Detektif Konstabel Lee See Kaw telah mati ditembak di Malim Nawar, Perak, diikuti pembunuhan terhadap Detektif Sarjan Lee Yoon Chin pada 20 April 1974 di Melaka. 4 hari kemudian, Detektif Konstabel Ong Soon Chua yg mati ditembak di Chemor, Perak.
  6. Pada 13 November 1975, Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong telah dibunuh di Ipoh semasa berada di dalam kereta. Kejadian tersebut turut meragut nyawa pemandunya Sarjan Yeung Peng Cheong.
Serangan Pengganas Komunis di Lenggong - Peristiwa Bechah Kemahang

Di Lenggong saja sudah banyak peristiwa berdarah berlaku, pembunuhan anggota keselamatan dan penduduk yang enggan bekerjasama. Bahkan, lebih 100 bekas Konstabel Khas (SC) di Perak berhasrat membuat perarakan bantahan besar-besaran jika hasrat membawa pulang Chin Peng diteruskan. Pendirian itu memang tepat pada masanya, kerana mereka yang bersabung nyawa mempertahankan negara dan jika hasrat itu diteruskan, ibarat luka lama berdarah kembali. Di perkampungan kecil Changkat Berangan, kira-kira 15 kilometer dari pekan Lenggong, tinggalan kesan aktiviti dan kekejaman komunis masih jelas kelihatan. Cuma, ia tidak dipelihara dan terjaga yang memungkinkan dua persoalan mengenai kedudukannya sekarang.

Tuesday, March 24, 2020

Petualang Rimba...

"Simpan sejarah kekejaman komunis" tersisip di ruang akbar Metro (Jumaat, 31 Mac 2017) merakamkan detik-detik kekejaman komunis terutama di Gerik, Perak pada era 1940an sehingga 1980an yang diketuai oleh Chin Peng sehingga memaksa pihak pemerintah mewartakan Gerik sebagai 'kawasan hitam' pelbagai keganasan dek ulah pengganas yang tidak bermaruah. Hanyir darah menyimbah bumi yang berdaulat ini, kesucian Islam diinjak-injak, kebejatan nafsu serakah menjadi taruhan perempuan Melayu, insan yang hilang dirimba bertemankan kubur yang tidak bertanda, bau minyak tanah menjadi igauan masyarakat kampung, bunyi tembakan 'rifle' menghantui lena mimpi. 

Tragedi berdarah di Lubang Buaya, Indonesia yang menyaksikan pembunuhan secara tragis 6 orang Jeneral oleh Gerakan Parti Komunis Indonesia. Penulis sendiri pernah menonton filem "Penumpasan Gerakan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang memperlihatkan bagaimana bentuk penyeksaan komunis yang bersifat kebinatangan terhadap Jeneral (TNI) yang berkonsepkan penyeksaan dan akhirnya dibuang dalam lubang yang ditimbusi tanah pokok pisang di atasnya. Gambaran ilustrasi berikut sebagai bukti kebejatan dan kebiadapan pengganas komunis di Perak.





Tubuh manusia dihiris sedalam setengah inci dengan menggunakan pisau yang tajam dan kemudian, bahagian hirisan tersebut akan dijirus dengan air garam. Maka tersiksalah mangsa yang dihiris menahan kepedihan yang teramat pada luka yang dalam. 

Monday, March 23, 2020

Toh Purba Lahamat...miliki ilmu kebatinan di Hulu Perak

Ilmu kebatinan tidak lekang dengan alam Melayu Nusantara, siri bercakap dengan jin berdasarkan Novel "bercakap dengan jin" yang ditulis oleh Allahyarham Tamar Jarlis sangat akronim dengan ilmu kebatinan samada yang dimiliki oleh si pemegang watak Tok Long Piah atau kisah misteri yang dirungkainya. 

Novel “Siri Bercakap Dengan Jin” disiarkan dalam majalah Variasari sejak April 1981 hinggalah ke Januari 2005. Untuk makluman anda, inilah siri novel seram yang paling panjang di Malaysia, Asia Tenggara dan antarabangsa. Pada 1980, majalah Variasari telah dicetak sehingga 120,000 naskhah sebulan mengatasi majalah Mastika terbitan Utusan Melayu. Beliau menghasilkan novel ini sejak dari April 1985 sehingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun 6 bulan lamanya.

Terdapat satu episod "bercakap dengan jin" yang mempamerkan adegan Tok Long Piah berusaha menangkap penjenayah yang melarikan dari tahanan polis, dengan ilmu batin yang dimiliki penjenayah berkenaan dengan mudah terbuka gari yang melekap di pergelanggan tangannya. Kemudian penjenayah berkenaan terus terjun dari kenderaan pacuan empat roda polis terus menyembunyikan dirinya di dalam sungai selama beberapa ketika. Tok Long Piah memaklumkan kepada pegawai polis berkenaan yang penjenayah tersebut memiliki ilmu tahan dalam air. Akhirnya dengan ilmu yang dimiliki Tok Long Piah dapat membantu menimbulkan penjenayah di dalam air sungai. Mungkin pada penulis beranggapan ini kisah yang ditulis dalam novel "siri bercakap dengan jin" namun apa yang memeranjatkan penulis terbaca sebuah keratan akbar Berita Harian bertarikh Ahad, 5 Febuari 2017 yang bertajuk "Gerik Meriah dalam Sunyi"

Sunday, March 22, 2020

Putera Raja Pagar Ruyong, Minangkabau

"Inilah peluru anak Raja Pagar Ruyong. Barang dimana ia terjatuh di situlah tuannya menjadi Pembesar". tertera di peluru yang digunakan oleh Megat Terawis dalam usaha membunuh Tun Saban. 

Megat Terawis merupakan Bendahara Perak dan bergelar Orang Kaya Bendahara Paduka Raja. Dia merupakan anak kepada Daulat Yang Dipertuan Pagar Ruyung. Keturunannya merupakan pemegang jawatan Bendahara di Perak. Salah seorang dari keturunannya, Megat Menjanas (Orang Kaya Bendahara Paduka Seri Maharaja), berkahwin dengan anak Sultan Muzaffar Shah II of Perak, iaitu Raja Shah Alam Sayong.

Megat Terawis telah datang ke Perak bersama-sama dengan Sultan Muzaffar Syah I dari Kampar dan mendirikan kerajaan di sana. Selang beberapa lama, berlaku perselisihan antara baginda dengan Tun Saban yang membawa kepada perperangan. Sultan Muzaffar Syah I menawarkan jawatan Bendahara kepada sesiapa yang berjaya membunuh Tun Saban, dan disahut oleh Megat Terawis. Megat Terawis kemudiannya dilantik menggantikan Tun Mahammad menjadi Bendahara Perak dengan gelaran Bendahara Paduka Raja.



Nama sebenarnya ialah Megat Terawis Ibni Almarhum Daulat Yang Dipertuan Pagar Ruyung Megat Terawan.Beliau berasal dari keluarga diraja Pagar Ruyung dan menetap di Kampar.(Kerabat diraja Kampar berasal dari kerabat diraja Pagar Ruyung juga).Sewaktu di Kampar,beliau menjadi seorang pendidik ilmu peperangan terutamanya ilmu persilatan.

Isterinya bernama Puteri Ratna Seri Bani-juga seorangkerabat diraja Pagar Ruyung.Hasil daripada perkahwinan ini,maka lahirlah Puteri Ratna Kemala Jamilah.Puteri ini merupakan Permaisuri Pagar Ruyung kerana menjadi isteri kepada Daulat Yang Dipertuan Pagar Ruyung Sultan Alif Berkilap Alam Shah.

Antara cucu-cucu Megat Terawis adalah Yamtuan Barandangan(kemudian Daulat Yang Dipertuan Paduka Seri Sultan Ahmad Alam Shah),Yamtuan Mangun(kemudian Daulat Yang Dipertuan Sultan Maharaja Diraja Alam Shah,Yamtuan Buyung(disebut Yamtuan Perak) serta Yamtuan Badrun Shah(kemudian Tuanku Raja Sumpur Raja Ibadat).

Sekilas Sejarah - Menuruti Nalarku

Manusia yang bertamadun lahir daripada masyarakat yang mempunyai coretan sejarahnya. Tanpa sejarah manusia tidak akan mengenali dirinya sen...