TAJUK UTAMA

SEJARAH TIDAK BOLEH DIUBAH FAKTANYA NAMUN SEJARAH PERLU DITELUSURI SEHINGGA MERUNGKAI MISTERI DAN MERUNGKAP IBRAHNYA

Tuesday, March 24, 2020

Petualang Rimba...

"Simpan sejarah kekejaman komunis" tersisip di ruang akbar Metro (Jumaat, 31 Mac 2017) merakamkan detik-detik kekejaman komunis terutama di Gerik, Perak pada era 1940an sehingga 1980an yang diketuai oleh Chin Peng sehingga memaksa pihak pemerintah mewartakan Gerik sebagai 'kawasan hitam' pelbagai keganasan dek ulah pengganas yang tidak bermaruah. Hanyir darah menyimbah bumi yang berdaulat ini, kesucian Islam diinjak-injak, kebejatan nafsu serakah menjadi taruhan perempuan Melayu, insan yang hilang dirimba bertemankan kubur yang tidak bertanda, bau minyak tanah menjadi igauan masyarakat kampung, bunyi tembakan 'rifle' menghantui lena mimpi. 

Tragedi berdarah di Lubang Buaya, Indonesia yang menyaksikan pembunuhan secara tragis 6 orang Jeneral oleh Gerakan Parti Komunis Indonesia. Penulis sendiri pernah menonton filem "Penumpasan Gerakan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang memperlihatkan bagaimana bentuk penyeksaan komunis yang bersifat kebinatangan terhadap Jeneral (TNI) yang berkonsepkan penyeksaan dan akhirnya dibuang dalam lubang yang ditimbusi tanah pokok pisang di atasnya. Gambaran ilustrasi berikut sebagai bukti kebejatan dan kebiadapan pengganas komunis di Perak.





Tubuh manusia dihiris sedalam setengah inci dengan menggunakan pisau yang tajam dan kemudian, bahagian hirisan tersebut akan dijirus dengan air garam. Maka tersiksalah mangsa yang dihiris menahan kepedihan yang teramat pada luka yang dalam. 



Pelbagai dakyah yang dilakukan oleh pengganas komunis dalam usaha memancing tempat dan sokongan di kalangan orang Melayu. Namun mereka sedar paksi perjuangan mereka ternyata jauh menyimpang dengan pegangan agama masyarakat Melayu. Ada pengganas yang masuk ke kampung berlagak sebagai seorang guru agama, pada mulanya memang pengajian kitab-kitab agama tetapi lama kelamaan agenda komunis diserapkan sedikit demi sedikit. Tapi orang kampung tidak cepat melatah keimanan dan ketakwaan tiada tandingnya dengan kekejaman komunis. Perkara yang perlu mereka lakukan adalah menghapuskan kitab suci Al-Quran yang merupakan benteng terkuat umat Islam ketika itu. Al-Quran selayaknya di bawah kasut mereka, dicemari dengan najis dan dibakar menjadi abu. 


Filem "Bukit Kepong" lakonan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin sememangnya perlu diulang siarnya menjadi tatapan dan peringatan kepada generasi kini yang semakin hari semakin hilang identitinya. Kekejaman pengganas komunis yang membakar balai polis menjadi medan strategi gerila mereka. Di Perak di kurang hebatnya terutama kisah kekejaman pengganas komunis di Kampung Beko yang menyaksikan pembunuhan beramai-ramai orang Melayu. Banyak rumah yang dibakar hangus bersama rentungnya jasad manusia. Tiada sifat manusiawi lagi sebaliknya manusia tiada layak juga digelar binatang malah lebih hina daripada itu.


Sehingga kini, tiada khabar orang yang hilang diculik komunis ke dalam hutan belantara. Kubur yang tidak bernisan mungkin ditanam sehingga tiada penghormatan selayaknya seorang jenazah Islam diuruskan, mungkin dicampak di mana-mana gaung hingga menjadi habuan santapan binatang-binatang buas, mungkin mereput tergantung berkecai dimamah terik matahari. Bukti jelas kekejaman mereka dipaparkan dalam kisah Penghulu Mukim Slim Village hilang ditawan komunis.


Turut menjadi mangsa kekejaman mereka adalah golongan imam dan bilal yang ditangkap dan disuruh pengganas komunis untuk makan daging khinzir sebelum ditembak mati. Gementar benar hati penulis dek menahan nafsu amarah, deraian airmata tidak terbendung masa tatkala kisah kekejaman ini dipertontonkan semula kepada anak bangsa agar jangan mudah alpa dek kemodenan zaman. Masih banyak lagi kekejaman yang mereka lakukan tidak termampu penulis garapkan apa juga sekalipun sejarah bukan untuk dibaca apatah lagi disimpan tetapi sejarah perlu dikaji dan diambil ibrahnya...sehingga merungkaikan misteri.




No comments:

Post a Comment

Sekilas Sejarah - Menuruti Nalarku

Manusia yang bertamadun lahir daripada masyarakat yang mempunyai coretan sejarahnya. Tanpa sejarah manusia tidak akan mengenali dirinya sen...