Kampung Bekor adalah sebuah penempatan Melayu di tepi Sungai Perak dengan penduduk seramai 400 orang. Pusat penempatan adalah dua deretan rumah kedai di jalan utama yang diduduki oleh peniaga-peniaga bangsa Cina yang dikelilingi oleh perkampungan Melayu. Pengangkutan utama adalah menggunakan perahu, memandangkan tiada jalan darat yang menghubungi Bekor dengan pekan-pekan utama lain seperti Parit dan Kuala Kangsar. Jalan darat yang ada hanyalah lorong pejalan kaki yang hanya boleh dilalui oleh pejalan kaki atau berbasikal.
Semasa era pendudukan tentera Jepun di Malaya (link disini), Bekor merupakan tempat penduduk Malaya berbangsa Cina lari menyelamatkan diri dari kekejaman tentera Jepun. Ini adalah kerana kawasannya yang terpencil dan mungkin tidak mempunyai apa-apa kepentingan strategik kepada pihak Jepun. Pihak Koumintang dan Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) turut menjadikan Bekor sebagai tempat persembunyian dan operasi. Bekor mempunyai laluan selamat ke Sungai Siput yang ketika itu merupakan kawasan utama MPAJA.
MPAJA dikenali juga Bintang Tiga
MPAJA berjaya mempengaruhi sebahagian besar penduduk Bekor untuk menyokong perjuangan mereka, manakala kehadiran Koumintang pula tidak begitu disenangi kerana mereka cuba mengenakan cukai terhadap tanaman seperti padi huma yang ditanam oleh penduduk-penduduk di Bekor. Pemuda-pemuda Bekor yang patriotik mendapatkan lathan dengan MPAJA kerana ianya satu pasukan gerila yang mendapat bantuan persenjataan dari British. Pemuda-pemuda ini dihantar ke Sungai Siput untuk mendapat latihan lanjutan. Bagaimanapun tidak semua bersetuju dengan ideologi komunis yang dibawa oleh MPAJA.
Apabila tentera Jepun menyerah diri secara mengejut pada 15 Ogos 1945, pasukan tentera British yang pertama tiba di Malaya pada 3 September 1945. Hanya pada 12 September 1945, British Military Administration (BMA) ditubuhkan di Kuala Lumpur. Bermula tarikh itu, BMA telah diberi mandat untuk memerintah Malaya. MPAJA bagaimanapun enggan menyerahkan senjata walaupun pasukan mereka seramai 6,800 anggota telah dibubarkan dengan rasmi oleh BMA. Di anggarkan 4,000 anggota MPAJA yang terlatih dikekalkan dan sebahagian besar senjata disorokkan oleh mereka.
Sepanjang kekosongan kuasa (15 Ogos 1945 hingga 3 September 1945), MPAJA telah keluar dari persembunyian dihutan-hutan dan mendirikan pentadbiran dikawasan yang mereka kuasai. Pihak MPAJA yang mempunyai pengaruh yang kuat di Bekor telah menjadikan Bekor sebagai pusat pentadbiran untuk daerah Kuala Kangsar. MPAJA telah menjadikan sebuah sekolah di Bekor sebagai pejabat mereka, dan disinilah arahan-arahan dikeluarkan untuk memburu musuh-musuh mereka yang dahulunya penyokong kepada pemerintahan tentera Jepun. Unit-unit pemburu MPAJA ini juga terdiri dari anggota-anggota berbangsa Melayu selain majoritinya Cina. Sekolah tersebut juga dijadikan markas operasi untuk menyoal siasat, menyeksa dan membunuh individu yang bersimpati dengan Jepun.
Peristiwa Serangan Pengganas Di Kampung Bekor
Pada 5 Mac 1946, tepat jam 5:30 pagi gerombolan yang disyaki MPAJA, orang-orang Cina dan juga beberapa orang Melayu (dianggarkan mencecah 1,000 orang) telah mara ke Bekor dari kawasan-kawasan bukit tempat mereka bermalam sebelumnya. Jambatan yang menghubungi Bekor dan Mandah telah dipasang dengan jerangkap samar bagi menghalang bantuan orang-orang Melayu tiba dari Mandah. Pasukan penyerang telah dibahagikan kepada dua kumpulan, dimana kumpulan pertama bertanggungjawab membakar rumah-rumah, dan apabila penghuninya keluar, pasukan kedua akan membunuh mereka. Tiada senjata api digunakan, kesemua mereka bersenjatakan tombak, pedang atau parang mungkin kerana hendak mengelakkan bunyi letupan senjata yang boleh didengar jelas pada waktu subuh.
Serangan komunis di Kampung Bekor berlaku selama dua hari yang berakhir pada tarikh 6 Mac 1946 iaitu selepas hampir sepuluh hari daripada peristiwa orang Melayu membunuh orang Cina. Serangan pertama berlaku pada 5 Mac 1946, hari Selasa dan lebih kurang pada jam 10.00 pagi. Kumpulan ini datang dari arah Klian, Bekor dan Kampung Pauh serta terdiri dengan kekuatan seramai 100 orang. Kumpulan penyerang ini dikatakan datang dari dua arah laluan yang berlainan.
Dalam perjalanan komunis masuk ke kawasan kampung, mereka dikatakan telah bertembung di laluan rumah Abdul Rahman bin Uda Mohamad. Kumpulan parang panjang pada pagi itu diketuai oleh Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan. Kumpulan komunis dan orang Melayu berada di kawasan kejadian selama hampir dua jam. Walaupun tidak berlaku pembunuhan, namun dalam serangan pertama pada 5 Mac 1946, sebanyak tujuh buah rumah orang Cina telah dibakar.
Semangat orang Melayu yang tidak mahu menyerah kalah menyebabkan komunis terpaksa berpatah balik dan masuk semula ke kawasan hutan. Tindakan komunis pada pagi itu telah menyebabkan penduduk Kampung Bekor mengadakan mesyuarat tergempar di Masjid Bekor. Mereka membuat keputusan untuk mengadakan pasukan kawalan kampung. Kanak-kanak, kaum wanita dan orang tua dikumpulkan di beberapa buah rumah ulama dan juga ketua kampung. Terdapat juga penduduk yang tidur di pondok padi pada waktu malam kerana takutkan komunis.
Serangan kali pertama lebih kepada tindakan komunis menguji kekuatan dan persediaan orang Melayu di Bekor. Orang Melayu dengan jelas telah menunjukkan reaksi penentangan dan menolak propaganda komunis. Seorang ulama iaitu Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan dikatakan telah mendapat petanda bahawa Kampung Bekor akan diserang dalam tempoh beberapa hari lagi. Oleh yang demikian, beliau telah memberikan semangat untuk mempertahankan kampung halaman mereka.
Bagi memberikan keyakinan kepada penduduk kampung, Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan telah memberikan Ayat Empat untuk diamalkan oleh barisan parang panjang Kampung Bekor. Antara penduduk kampung yang turut menerima dan mengamalkan ayat tersebut terdiri dari Tuan Haji Shaari bin Haji Amin, Busu Ahmad bin Haji Amin dan Tuan Haji Bashah. Bilangan penduduk kampung yang mengambil dan menghafal ayat tersebut pada malam tersebut dianggarkan seramai tujuh hingga lapan orang sahaja. Walau bagaimanapun, bilangan ini meningkat dari masa ke semasa selepas fatwa jihad fisabilillah dikeluarkan oleh ulama tempatan.
Pada pagi hari Rabu 6 Mac 1946, antara jam 5.00 hingga 5.30 pagi telah berlaku serangan kali kedua yang telah dirancang dengan penuh teliti. Akhbar Majlis melaporkan bahawa bilangan orang Cina yang datang menyerang ialah kira-kira 500 orang dan datang dari daerah Klian. Kumpulan ini telah datang dengan dua puak dan asal tempat kedatangan mereka juga tidak dapat dipastikan, kerana selepas serangan tersebut, mereka telah menghilangkan diri dalam hutan tebal.
Serangan pada 6 Mac 1946 dilakukan pada awal pagi ketika penduduk kampung sedang tidur dan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk melawan. Serangan juga dilakukan secara serentak melalui tiga penjuru. Kumpulan pertama menyerang dari arah Kampung Kelang dan Kampung Teruan/Bekor. Kumpulan kedua dari arah Kampung Baru, manakala kumpulan ketiga dari Kampung Kubang Udang. Setiap kawasan simpang dan jalan utama di seluruh kampung dikawal ketat oleh komunis. Saksi menyatakan bahawa serangan ini telah dilakukan oleh orang Cina yang berkebun sayur di pinggir Kampung Bekor dan Manong.
Rumah-rumah di Bekor yang masih ada kesan dibakar (foto: Perajurit)
Hanya pada waktu tengahari barulah penduduk kawasan berdekatan memasuki Bekor. Mereka yang terkorban dikebumikan di tempat mereka dibunuh, tanpa kapan dan dianggap syahid. Kebanyakan yang tewas berjuang dalam kumpulan dikuburkan bersama. Keesokkannya pasukan tentera Gurkha tiba tetapi anggota pasukan gerombolan yang menyerang telah menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Kesemua penduduk Bekor dibawa ke Balai Polis Manong dan ditempatkan selama sebulan disana sebagai pelarian. Mungkin kerana hubungan yang baik antara orang-orang Cina dan penduduk Melayu di Bekor, selepas kejadian itu maklumat rahsia mengenai serangan telah dibocorkan. Menurut beberapa keluarga Cina, setiap keluarga dikerah untuk menghantar wakil menyertai serangan tersebut dan jika enggan, wang sebanyak 25 Ringgit hendaklah dijadikan penebus diri. Pada tahun 1946, tambah lagi selepas perang tidak banyak keluarga yang mampu mengadakan 25 Ringgit. Apa pun, motifnya bukanlah perkauman kerana terdapat para penyerang yang terdiri dari orang Melayu juga, serta amaran-amaran awal yang diberikan oleh orang-orang Cina kepada kawan-kawan mereka yang berbangsa Melayu menunjukkan keakraban hubungan antara kaum di Bekor ketika itu.
bersambung...garapan yang akan datang








No comments:
Post a Comment