TAJUK UTAMA

SEJARAH TIDAK BOLEH DIUBAH FAKTANYA NAMUN SEJARAH PERLU DITELUSURI SEHINGGA MERUNGKAI MISTERI DAN MERUNGKAP IBRAHNYA

Sunday, March 22, 2020

Pedang Pembunuh Ular Saktimuna.....


"Sekongkong Tanah Minngkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di Selat Melaka
Jika sah Beta Raja berdaulat
Lepaskan sekalian malpetaka"


Cura Si Manjakini (Jawi: ڤدڠ چورا سي منجاکيني) ialah sebilah pedang yang disebut di dalam teks Sejarah Melayu, kepunyaan Maharaja Sang Sapurba iaitu nenek moyang legenda Raja-Raja Melayu. Selama ratusan tahun, pedang ini menjadi simbol kedaulatan dan kekuasaan dalam budaya Melayu. Ia diwariskan kepada Sang Nila Utama iaitu pengasas Kerajaan Singapura Lama, kemudiannya kepada Parameswara pemerintah pertama Kesultanan Melaka, dan seterusnya kepada Muzaffar Syah I, Sultan Perak pertama. Pedang tersebut kini merupakan sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Perak.

Nama "Cura Si Manjakini" dikatakan berasal daripada bahasa Sanskrit, churiga (si) Mandakini yang bermaksud "bilah dari Mandakini". Teori lain mengaitkan namanya dengan "Curik Man Dakini" - curik ialah perkataan Tamil-Sanskrit yang bermaksud 'membelah', man berasal daripada perkataan Sanskrit mantera, manakala dakini bermaksud mambang kecil yang dikatakan memakan daging dan darah manusia.

Tradisi dalam Sejarah Melayu menyatakan yang pengasas dinasti pemerintahan utama di Alam Melayu ialah seorang putera bernama Sang Sapurba daripada keturunan Iskandar Agung melalui salah seorang isteri baginda yang berbangsa India. Sang Sapurba, yang kemudian dikenali sebagai Sri Nila Pahlawan muncul bersama saudara-saudaranya yang lebih muda, Sri Krishna Pandita dan Sri Nila Utama di atas Bukit Seguntang, Sumatera. Putera Raja ini kemudiannya turun ke lembah Palembang di mana baginda dikahwinkan dengan Wan Sendari, puteri kepada pemerintah tempatan Demang Lebar Daun, dan seterusnya ditabalkan menjadi Raja. Tidak lama kemudian, Sang Sapurba dengan diiringi para pengikutnya dikatakan melintasi pedalaman Sumatera sehingga sampai ke Tanah Tinggi Minangkabau, di mana salah seorang pahlawannya yang bernama Permasku Mambang membunuh seekor ular raksasa yang digelar Saktimuna. Sang Sapurba kemudiannya diangkat menjadi Raja, mengasaskan susur galur pemerintah Minangkabau.


CURA SI MANJA KINI adalah berasal dari perkataan Sankrit Churiga (Si) Mandakini yang bererti Mata Pisau dari Tasik Mandakini (sebuah tasik berhampiran dengan Sungai Ganges, India). Pedang ini menjadi salah satu daripada alat kebesaran Kesultanan Perak. Dipergunakan semasa Adat Istiadat Pertabalan Sultan yang baru.


Parameswara menggunakan pedang Cura Simanjakini ini sewaktu pertabalan baginda sebagai Raja Melaka dan kemudian memakai gelaran Sultan pada 1405 dan kemudian mewariskan pedang ini kepada keturunan baginda. Pedang ini dibawa ke Kampar ketika pengunduran Sultan Mahmud Shah setelah Kota Melaka berjaya ditawan oleh Feringgi (Portugis).

Pedang Cura Simanjakini dikurniakan kepada anakanda baginda iaitu Raja Muzaffar dan dibawa ke Perak apabila Sultan Muzaffar Shah menjadi Sultan Perak yang pertama pada 1528 dan sejak itu Pedang Cura Simanjakini menjadi alat kebesaran penting negeri Perak hingga kini. Sultan Perak tidak boleh ditabalkan sekiranya Pedang Cura Si Manjakini tiada,  Ketika upacara pertabalan berlansung, YM Raja Chik Muda Pawang Diraja akan menyembahkan Pedang Cura Simanjakini kebawah DYMM Paduka Seri Sultan.

Paduka Seri Sultan akan menghunus pedang tersebut dan mengucup hulu pedang. Pedang itu kemudian disarungkan kembali dan dibawa dibahu kanan, sama seperti cara ianya dibawa oleh Sang Sapurba apabila baginda membuat perjanjian dengan Demang Lebar Daun. 

Mengikut Sejarah Melayu perjanjian berkenan adalah seperti berikut :-

Maka titah Sang Sapurba, 'Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu' Maka sembah Demang Selebar Daun. 'Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan menjadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan ; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosapun, janganlah difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak'.

Maka titah Sang Sapurba, 'Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.' Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Janji yang mana itu, Tuanku?' Maka titah Sang Sapurba, 'Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.'

Maka sembah Demang Lebar Daun, 'Baiklah, Tuanku.  Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.' 

Maka titah Sang Sapurba, 'Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.'

Maka bagindapun bersumpah-sumpahan barangsiapa mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbungnya ke bawah, kaki tiangnya keatas.Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Mereka ; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.  Jikalau  ada seorang raja memberi aib seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa.  Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya.

Itulah serba sedikit yang boleh Syah kongsi bersama anda mengenai Pedang Cura Simanja Kini dan mengapa sebenarnya kita sebagai orang Melayu dilarang menderhaka kepada Sultan dan seorang Sultan pula harus berlaku adil dan saksama kepada rakyatnya.  Dari sinilah datangnya ungkapan Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Di Sanggah.  Daulat Tuanku ............ Dirgahayu Tuan Patik.

Pada waktu istiadat ini, Nobat Diraja memainkan lagu antara empat hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak geri Paduka Seri Sultan untuk mengetahui kedaulatan seseorang Sultan. Mengikut adat, sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu lebih tujuh lagu nobat) ini menunjukkan Baginda direstui Jin-Jin Kerajaan dan baginda akan memerintah lama atau panjang umur. Akan tetapi, sekiranya Baginda hanya bertahan empat atau lima lagu, petanda pendek umur (sekadar adat.bukan kepercayaan). Toh Setia Guna akan memberi isyarat untuk nobat berhenti sekiranya Baginda Sultan kelihatan resah gelisah di atas Peterakan Singgahsana.

Sewaktu nobat dipalu, Pedang Cura Simanja Kini akan bergerak-gerak dengan sendiri seakan-akan hendak keluar dari sarungnya. Ini menunjukkan Jin Kerajaan berserta dalam Istiadat Tabal Jin dan merestui pertabalan Baginda.



No comments:

Post a Comment

Sekilas Sejarah - Menuruti Nalarku

Manusia yang bertamadun lahir daripada masyarakat yang mempunyai coretan sejarahnya. Tanpa sejarah manusia tidak akan mengenali dirinya sen...